Militan Serang Sabah Semula? Kami Bersiap Sedia – Ketua Polis Negara
KUALA LUMPUR – Pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk ancaman serangan pihak asing.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bagi memastikan ancaman itu ditangani dari awal, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Marin, Pasukan Gerakan Am dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melancarkan pelbagai operasi.
Beliau ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan beberapa kumpulan militan termasuk kumpulan Abu Sayyaf dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mahu menyerang tiga kawasan iaitu Pulau Selingan (Sandakan), Pulau Langkayan (Beluran) dan Resort Sukau (Kinabatangan), pada esok dan hari Krismas ini.
“Kami terima maklumat itu dan kami bersiap sedia,” kata Khalid.
Mengulas kes berbeza, beliau berkata polis akan mengambil keterangan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim berhubung satu laporan polis yang dibuat oleh Mat Zain.
Semalam, Mat Zain membuat laporan mendakwa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat afidavit palsu berhubung rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat keduanya.
“Kita akan lihat kesalahan yang didedahkan dalam kenyataan dibuatnya Mat Zain),” kata Khalid. – BERNAMA
About the Author

0 comments: